Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman (tengah) menyerahkan bayaran premium tanah bagi tahun 2023 kepada Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Selangor, Dr Faridah Amin (dua kanan) menerusi Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Selangor di Dataran Esplanade Eco Grandeur, Puncak Alam pada 26 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Klinik kesihatan di Bandar Seri Coalfields, atasi kesesakan pesakit

KUALA SELANGOR, 26 FEB: Penantian kira-kira 120,000 penduduk Puncak Alam untuk memiliki sebuah klinik kesihatan bakal berakhir apabila ia akan dibina di Bandar Seri Coalfields di sini.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata Kementerian Kesihatan akan membina klinik kesihatan di atas tanah enam ekar, yang boleh menempatkan sehingga 1,000 pesakit luar dalam satu masa.

“Hari ini kita hanya menerima bayaran premium tanah daripada kementerian bagi tujuan pembinaan klinik kesihatan tersebut.

“Namun kita tidak pasti bila pembinaannya akan bermula. Apa pun kita tunggu pengumuman rasmi kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Kita Selangor Penyayang Kuala Selangor di Dataran Esplanade Eco Grandeur di sini hari ini.

Terdahulu, Khairuddin menerima cek cura penyerahan bayaran premium tanah bagi pihak Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor daripada wakil Kementerian Kesihatan Dr Faridah Amin.

Ketika ini, kawasan Puncak Alam hanya memiliki sebuah klinik desa yang beroperasi di premis rumah dua tingkat yang berada di dalam kawasan perumahan.

Ia bagaimanapun tidak dapat menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat sehingga ada yang terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Komuniti Saujana Utama di Sungai Buloh dan Klinik Kesihatan Ijok.


Pengarang :