Penolong Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu Norita Abdul Aziz (dua, kiri) memeriksa harga sayur-sayuran yang dilaporkan naik mendadak semasa tinjauan di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada 24 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDN keluar 60 notis, siasat harga sayur dalam Ops Pasar

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan 60 notis terhadap 296 jenis barangan yang telah diperiksa bagi tujuan analisis dan siasatan berhubung kenaikan harga sayur-sayuran melalui Operasi Pasar (Ops Pasar).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata hasil pemeriksaan awal mendapati faktor peningkatan harga sayur-sayuran kerana musim monsun, kenaikan kos input seperti baja, benih dan racun yang diimport, kadar pertukaran mata wang serta kos perkapalan.

Beliau berkata pihaknya memandang serius rungutan orang ramai berkenaan kenaikan harga barangan termasuk sayur-sayuran seperti dilaporkan media arus perdana dan media sosial.

“Kementerian sentiasa prihatin dan berusaha menangani isu-isu ini melalui tindakan proaktif dan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ops Pasar merupakan antara pemeriksaan dan pemantauan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang difokuskan bagi menangani kenaikan harga sayuran di pasaran.

Azman berkata 2,200 pegawai penguat kuasa digerakkan setiap hari bagi melaksanakan pemeriksaaan harga di premis seluruh negara termasuk yang menjual sayur-sayuran.

Selain itu, beliau berkata pihaknya sentiasa melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta peniaga bagi memastikan bekalan sedia ada sentiasa mencukupi.

“Kementerian ini juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga secara keterlaluan. Jika ada pihak yang didapati melanggar perundangan berkaitan akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Pengguna yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan lengkap kepada KPDN melalui WhatsApp di 019-2794317 atau 019-8488000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; Pusat Panggilan 1-800-886-800; emel [email protected] dan Ez ADU KPDN.

– BERNAMA


Pengarang :