EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian (dua, kanan) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim (dua, kiri) melawat gerai pameran selepas merasmikan program sambutan Hari Alam Sekitar 2022 peringkat MPAJ di Menara MPAJ, Pandan Indah pada 3 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kurang pelepasan karbon, Selangor kaji guna bas hidrogen sebelum 2030

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 4 FEB: Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk memperkenalkan bas hidrogen dalam tempoh lima tahun atau sebelum 2030.

EXCO Alam Sekitar berkata bas tersebut mesra alam dan tidak mengeluarkan asap seperti penggunaan petrol selain lebih berkuasa berbanding bas elektrik.

“Rancangan ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan pelepasan karbon iaitu dalam kadar 45 peratus pada 2030 dan sifar pelepasan karbon pada 2050,” kata Hee Loy Sian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Menara MPAJ malam tadi.

Bagaimanapun Loy Sian menjelaskan Kerajaan Negeri menghadapi kekangan untuk mendapatkan sumber hidrogen yang banyak melain mengimportnya dari luar.

“Sebelum melaksanakan penggunaan bas hidrogen, penghasilan hidrogen perlu ada dan kita belum sampai tahap menghasilkan hidrogen secara besar-besaran yang boleh digunakan untuk kenderaan.

“Negara luar sudah mula hasilkan hidrogen, Sarawak juga mendahului dan nak jual hidrogen kepada Singapura. Sehubungan itu kita berhasrat bekerjasama dengan negara luar seperti Korea untuk menghasilkan hidrogen dan bas hidrogen,” jelasnya.

Loy Sian menambah penggunaan bas hidrogen juga bergantung kepada keputusan kerajaan pusat kerana sistem pengangkutan di bawah bidang kuasa mereka.


Pengarang :