EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (dua, kanan) dan Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dato’ Johary Anuar (tiga, kiri) melawat tapak projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor Kolam Takungan Sungai Semenyih di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Laksana sistem sokongan, Selangor jadi peneraju atasi masalah bekalan air

SEPANG, 16 FEB: Selangor menjadi negeri peneraju dalam menangani masalah gangguan bekalan air menerusi insiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata ketika ini hanya negeri ini melaksanakan sistem sokongan bekalan air yang sedang dibina di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih.

“Sumber air mentah alternatif dari Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 di Sungai Selangor dan kolam takungan (Pond C) di Sungai Semenyih mampu menyediakan sehingga 67 peratus bekalan air kepada seluruh negeri ini.

“Jadi, kedua-dua projek itu juga mampu menampung sehingga lima hari jika berlaku masalah kekurangan atau pencemaran air,” katanya selepas meninjau projek kolam takungan (Pond C) Sungai Semenyih di Jenderam Hilir di sini hari ini.

Menurut Izham, kedua-dua projek jaminan sumber air mentah itu dijangka siap akhir tahun ini dan mampu menyelesaikan isu bekalan air di Kuala Lumpur, Selangor, dan Putrajaya.

Katanya, pembinaan infrastruktur itu juga menghalang Loji Rawatan Air (LRA) daripada merawat sumber air tercemar dari sungai, sehingga masalah kualiti air diselesaikan.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan SJAM adalah inisiatif dalam menangani masalah gangguan bekalan air akibat pencemaran sumber air mentah terutamanya di Sungai Selangor dan Sungai Langat.


Pengarang :