AGENDAJENAYAH

Lapan individu ditahan disyaki terlibat penipuan simpanan berasaskan permainan kutu

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan individu disyaki terlibat dalam skim penipuan sapiza extra saving di empat negeri menerusi serbuan pada 27 Januari lepas.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata mereka terdiri daripada enam wanita dan dua lelaki berusia antara 31 dan 37 tahun.

Beliau berkata serbuan turut merampas sebuah kenderaan mewah, beberapa kad mesin juruwang automatik (ATM), telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

“PDRM menerima 116 laporan di seluruh negara berhubung skim penipuan berkenaan yang melibatkan kerugian dianggar RM4.43 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noorsiah siasatan awal mendapati skim itu mula aktif sejak 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan ‘permainan kutu’.

Beliau berkata ia bermula pada 2021 apabila skim tersebut mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu iaitu serendah RM250 hingga RM20,000 merangkumi tempoh simpanan antara dua dan lima bulan.

“Sebagai tambahan, skim baharu yang ditawarkan turut menjanjikan keuntungan 15 hingga 40 peratus daripada jumlah wang disimpan bagaimanapun, sejak Oktober 2022, pengendali skim simpanan ini didapati mulai gagal untuk melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta,” katanya.

Noorsiah berkata dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan seumpama itu, PDRM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melakukan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

– BERNAMA


Pengarang :