Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri bersama Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim bergambar bersama barisan artis ketika tayangan khas filem Coast Guard Malaysia Ops Helang anjuran DUN Pelabuhan Kelang di Central i-City, Shah Alam pada 5 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNAGENDANASIONAL

Lebih 1,000 penonton meriahkan tayangan khas filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang

SHAH ALAM, 6 FEB: Tayangan Khas filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang meriah dengan kehadiran 1,150 individu.

Tayangan khas yang diadakan di TGV Central i-city itu merupakan kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan penerbit Flying Deal Sdn Bhd serta Arie Zaharie Production.

Pasukan Khas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ketika Tayangan Khas Coast Guard Malaysia Ops Helang anjuran DUN Pelabuhan Kelang di Central i-City, Shah Alam pada 5 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata penganjuran tayangan khas filem tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada anggota Maritim Malaysia yang berkorban menjaga perairan negara.

“Ini adalah cara menghargai Maritim Malaysia yang berkorban jiwa raga dan menjalankan tanggungjawab menjaga perairan negara khususnya di Pelabuhan Klang.

“Dengan penganjuran tayangan khas ini, masyarakat lebih memahami bidang kuasa Maritim Malaysia sekali gus menaikkan semangat patriotisme,” kata Azmizam Zaman Huri.

Pada masa sama, beliau berharap penganjuran tayangan khas itu dapat membantu syarikat produksi menarik lebih ramai orang awam menontonnya.

Pasukan Khas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia membuat demonstrasi operasi ketika Tayangan Khas Coast Guard Malaysia Ops Helang anjuran DUN Pelabuhan Kelang di Central i-City, Shah Alam pada 5 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bukan itu sahaja, saya juga berharap inisiatif ini dapat memartabatkan lagi filem tempatan dengan karya-karya bermutu.

“Malah saya berharap filem ini dapat membuka minda masyarakat dan pengaruhi anak muda supaya lebih ramai menyertai Maritim Malaysia,” katanya.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang merupakan karya Allahyarham Pitt Hanif bergenre aksi.

Ia dibintangi Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama selain menampilkan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlee, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis dan Wanna Ali.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri bersama pasukan pancaragam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia membuat pertunjukan ketika Tayangan Khas Coast Guard Malaysia Ops Helang anjuran DUN Pelabuhan Kelang di Central i-City, Shah Alam pada 5 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Penggambaran filem itu mengambil masa 55 hari bermula dari 3 Ogos hingga 24 Oktober 2019 membabitkan lokasi penggambaran 65 peratus di kawasan laut dan pulau di sekitar Pulau Langkawi, Kedah serta di Pahang.


Pengarang :