Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Ekstrim Gua Damai, Gombak pada 2 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 500 penduduk Sungai Tua serbu Jualan Ehsan Rakyat, beratur seawal 7 pagi

SELAYANG, 2 FEB: Lebih 500 pendududuk DUN Sungai Tua menyerbu program Jualan Ehsan Rakyat di Kampung Wira Damai di sini hari ini bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga murah.

Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi berkata penduduk mula beratur mengambil nombor giliran seawal 7 pagi meskipun gerai jualan hanya dibuka pada 9.30 pagi.

“Mereka sanggup datang dua jam lebih awal kerana tidak mahu terlepas membeli barang dengan harga murah. Untuk pastikan penduduk tidak pulang tangan kosong, kita gunakan sistem giliran.

“Kita beri keutamaan 350 penduduk yang datang awal. Jika masih ada bekalan, kita akan teruskan dengan penduduk seterusnya. Kita tidak mahu mereka beratur tetapi bila sampai giliran, barangan sudah habis,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi bercakap kepada Media Selangor ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Ekstrim Gua Damai, Gombak pada 2 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Rahim berkata tiga produk utama iaitu ayam, telur dan minyak masak menjadi pilihan ramai penduduk kerana harganya yang murah selain mudah didapati berbanding pasaran tempatan.

Kerajaan Negeri meneruskan inisiatif jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor selama tiga bulan bermula 16 Januari bagi meringankan beban belanja penduduk.

Program melibatkan anggaran peruntukan hingga RM15 juta itu menawarkan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :