AGENDAJENAYAH

Lelaki tak serik, ditangkap tiga kali proses, jual air ketum

PETALING JAYA, 17 FEB: Tiga kali pernah ditangkap sebelum ini namun seorang lelaki tidak pernah serik menjual air ketum yang telah diproses.

Suspek merupakan seorang daripada lima lelaki yang ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Medan, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam tangkapan jam 6 petang itu, 92 botol plastik lut sinar berisi cecair disyaki air ketum dirampas.

Katanya kesemua botol bersaiz 1.5 liter air ketum itu dianggarkan berisipadu 138,000 mililiter, lapor Sinar Harian.

Menurutnya polis turut merampas 10 bungkus plastik mengandungi 50 kilogram daun ketum.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid. Foto Facebook Polis Daerah Petaling Jaya

“Kesemua suspek berusia 23 hingga 37 tahun yang ditahan direman sehingga esok.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata suspek utama mempunyai tiga rekod lampau bersabit kes di bawah Akta Racun 1952 (Pindaan 2022), selain tujuh rekod jenayah.

Katanya suspek berusia 30-an itu pernah ditangkap dua kali pada 2017 dan terakhir ditahan pada 2019.

Menurutnya suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kembali aktif menjual air ketum antara dua ke tiga bulan sebelum ditangkap.

“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Pindaan 2022) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.

“Sabit kesalahan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.


Pengarang :