Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman bercakap kepada media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam pada 25 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lelaki yang cedera ditikam pesakit mental di Hospital Selayang stabil

PUTRAJAYA, 15 FEB: Seorang pesakit lelaki yang cedera selepas ditikam seorang pesakit mental ketika dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang semalam, berada dalam keadaan stabil, kata Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata lelaki itu segera diberikan rawatan kecemasan, dan selanjutnya telah menjalani pembedahan dengan kadar segera susulan kejadian yang berlaku pada pukul 3 petang semalam.

“Pesakit dalam keadaan sedar dan stabil selepas pembedahan di bawah pemerhatian Unit Rawatan Rapi di Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata kejadian berlaku terlalu pantas, dan jururawat serta pegawai perubatan yang berada di jabatan berkenaan telah mengambil tindakan segera menahan pesakit mental berkenaan dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Menurutnya laporan polis berhubung perkara itu juga telah dibuat oleh pegawai perubatan yang menyaksikan kejadian dan kes masih dalam siasatan polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menerusi catatan di Twitter hari ini berkata mangsa yang cedera ditikam seorang pesakit mental di hospital berkenaan diberikan rawatan terbaik.

– BERNAMA


Pengarang :