Aksi perlawanan keempat Liga Super Wanita antara FC Spicegals dan Negeri Sembilan FA di Radia Arena A, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 19 Februari 2023. Foto Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Liga Super Wanita: FC Spicegals kekal rekod tanpa kalah

SHAH ALAM, 20 FEB: FC Spicegals membelasah Negeri Sembilan FA 5-0 dalam perlawanan keempat Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bolasepak Selangor pada 19 Februari.

Beraksi di Radia Arena A, tuan rumah selesa mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Farishah Erinna pada minit kesembilan dan Jaciah Jumilis tiga minit kemudian.

Kedudukan makin tertekan buat Negeri Sembilan FA apabila FC Spicegals menambah tiga lagi jaringan di babak kedua menerusi Nur Haniza, Puteri Noralisa dan Azza Harniza sekali gus mengukuhkan cengkaman di persada kumpulan A.

MBSJ kekal kedua dengan 10 mata selepas menang bergaya 3-0 ke atas SA United hasil jaringan Steffi Sarge Kaur, Fatin Shahida dan Lovelytha Jelus.

Satu lagi aksi kumpulan A menyaksikan FC Swat menewaskan PJKITA 2-1 selepas berjaya bangkit mencipta dua gol di babak kedua menerusi Siti Nabila dan Nur Izzati.

Sementara itu, jaringan tunggal Henrietta Justine pada penghujung permainan berjaya membantu UPNM FC menewaskan UiTM Lioness untuk kekal menerajui kumpulan B.

Penjaring terbanyak Intan Sarah turut cemerlang melakar hatrik kedua musim ini ketika membantu Kelana United FC membelasah Sternen FC 7-0 sekali gus naik di kedudukan kedua dengan tujuh mata.

PNSB FC pula kekal di tangga terbawah kumpulan B tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 1-4 kepada SSS Leopard.


Pengarang :