Anggota Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama agensi kerajaan memeriksa insiden tumpahan minyak di sebuah bengkel selenggara bas di Rawang baru-baru ini. Foto ihsan LUAS
AGENDANASIONAL

LUAS berjaya halang tumpahan minyak, elak operasi loji terjejas

SHAH ALAM, 1 FEB: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) baru-baru ini berjaya menghalang insiden tumpahan minyak disyaki minyak hitam yang berpotensi mencemarkan Sungai Serendah, Rawang.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian memaklumkan tindakan pantas bersama agensi lain juga dapat mengelakkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dengan anggaran jarak 20km terjejas.

Beliau berkata penemuan LUAS melibatkan sebuah bengkel selenggara bas dalam rezab Sungai Serendah, Kampung Koskan, dengan enam tong minyak ditemui di kawasan berkenaan.

“Pihak premis telah segera diarahkan untuk membuat pembersihan menyeluruh di kawasan tersebut.

“Pada masa sama, LUAS bersama agensi berkaitan akan meneruskan pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan arahan yang dikenakan kepada premis berkenaan dituruti,” katanya dalam kenyataan.

Selain mengeluarkan Surat Arahan bawah Seksyen 121 Enakmen LUAS 1999, Loy Sian berkata Majlis Perbandaran Hulu Selangor turut mengeluarkan dua notis amaran dan satu notis am.

Tindakan lain yang diambil termasuk:

-Jabatan Alam Sekitar mengarahkan pemilik bengkel membuat kawalan dan pelupusan buangan terjadual minyak hitam terpakai dan memaklumkan tindakan diambil dalam tempoh tiga hari

-Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor menyampaikan Notis 425 (1) Kanun Tanah Negara 1965 kepada
pemilik bengkel kerana meletakkan bas atas rezab sungai tanpa kebenaran.


Pengarang :