Seramai 70 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dihantar ke Selatan Turkiye pada 6 Februari 2023 bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di sana. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MAHB bantu mudah cara operasi penerbangan SAR di Turkiye

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberikan sepenuh komitmen untuk memudah cara semua penerbangan penyelamatan dan dan operasi kargo yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (SAW) susulan gempa bumi dahsyat yang melanda tenggara Türkiye, awal pagi Isnin.

MAHB merupakan operator lapangan terbang tersebut.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar untuk memberikan bantuan tambahan dengan menyediakan penginapan transit kepada 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di hotel di lapangan terbang itu, sebelum mereka digerakkan ke kawasan terjejas

“Penerbangan penyelamatan pertama berlepas jam 8.41 pagi waktu tempatan dan sehingga kini, enam penerbangan serupa sudah berlepas dari lapangan terbang berkenaan membawa 1,400 anggota penyelamat,” katanya melalui kenyataan media, malam tadi.

“Kami sama-sama sedih dengan tragedi tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa gempa bumi itu. Kami akan terus menawarkan sebarang bantuan yang mungkin,” katanya.

Iskandar Mizal berkata SAW adalah satu daripada dua lapangan terbang yang ditetapkan oleh kerajaan Turkiye sebagai hab penyelamat dan logistik, di mana ketika ini Terminal Penerbangan Am di SAW digunakan sebagai pusat pengurusan krisis dengan menyediakan sokongan yang diperlukan termasuk makanan untuk pasukan penyelamat.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.

Menurut Kementerian Luar, setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terjejas dengan kejadian tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :