Wakil Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyerahkan sumbangan kotak makanan kering kepada rakan strategik untuk diagih kepada penerima yang layak di daerah Petaling dan Sepang pada 13 Februari 2023. Foto Facebook Mais 
AGENSISELANGOR

Mais agih barangan dapur, ringan beban lebih 500 keluarga

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan sumbangan fidyah berjumlah RM82,140 kepada 555 keluarga kurang berkemampuan sekitar Petaling dan Sepang.

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan agihan bantuan kotak makanan kering bernilai RM148 setiap keluarga bertujuan meringankan beban penerima yang layak.

“Sumbangan diberikan dalam bentuk makanan asasi seperti beras, tepung, minyak, gula, sardin, serbuk coklat milo, kari ayam siap dimasak dan biskut menggunakan peruntukan Fidyah Mais.

“Semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan bebanan mereka semua,” menurut kenyataan itu.

Agihan melibatkan kerjasama 11 rakan strategik Mais antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Lanjut.

Turut terlibat SK Bandar Baru Salak Tinggi, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Baru Salak Tinggi, SK Bukit Bangkong, SK Seksyen 9 dan SMK Puchong.

Orang ramai yang mahu membayar fidyah boleh berbuat demikian secara dalam talian melalui pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php


Pengarang :