Malaysia mengecam kempen penindasan ganas dan tanpa henti oleh rejim Israel ke atas warga Palestin, terutama terhadap tahanan dari Jenin di Tebing Barat. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia kecam penindasan berterusan Israel ke atas warga Palestin

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kempen penindasan yang ganas dan tanpa henti oleh rejim Israel ke atas warga Palestin, terutamanya terhadap tahanan dari Jenin di Tebing Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini menekankan ia termasuk penindasan dalam beberapa penjara di kawasan diduduki Israel selain daripada hukuman secara pukul rata dan tindakan balas.

“Malaysia menyeru kepada semua pemimpin dunia berfikiran wajar dan mereka yang merdeka supaya mengutuk pembunuhan warga Palestin oleh pihak berkuasa Israel,” katanya.

Anwar berkata Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya memastikan rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah ini dan meminta rejim itu menghentikan serta-merta tindakan kejam dan ganas itu.

Selain itu, Malaysia menzahirkan simpati, takziah dan doa kepada keluarga warga Palestin yang maut dan cedera dalam pencerobohan tentera Israel dalam serangan ke atas satu khemah pelarian di Jenin baru-baru ini.

Beliau juga menekankan Malaysia terus bersatu padu dengan warga Palestin dan mengukuhkan sokongan tidak berbelah-bagi kepada mereka dan perjuangan untuk mencapai kebebasan daripada pendudukan haram Israel dan aspirasi mereka untuk sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

– BERNAMA


Pengarang :