Perwakilan menghadiri Konvensyen Penerangan KEADILAN Selangor di Hotel TH, Petaling Jaya pada 26 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Mantapkan komunikasi, anggota KEADILAN Selangor dipersiap depani PRN

PETALING JAYA, 27 FEB: Seramai 210 anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri hadir ke Konvensyen Pemantapan Penerangan KEADILAN Selangor di Hotel TH di sini semalam.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor Halimey Abu Bakar memaklumkan program julung kali diadakan itu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurutnya, antara pengisian program adalah memantapkan pengucapan awam ahli anggota KEADILAN selain mendidik mereka berhubung penggunaan media sosial.

“Program ini adalah salah satu persediaan PRN dan ahli anggota KEADILAN perlu memantapkan lagi komunikasi selain sentiasa bersedia dalam apa jua perkara.

“Selain itu, saya turut menekankan kepada mereka untuk membantu uar-uarkan produk negeri ini kepada rakyat iaitu Iltizam Selangor Penyayang supaya lebih dikenali,” katanya.

Program yang berlangsung mulai jam 8 pagi hingga 5 petang dirasmikan Pengarah Komunikasi KEADILAN yang juga Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Dalam pada itu, Halimey turut yakin KEADILAN bersama gabungan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu kekal mempertahan Selangor yang ditadbir sejak 2008.

“Kita yakin dengan gerak kerja dibuat semua ahli parti negeri ini dan kerja keras Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menambah baik Iltizam Selangor Penyayang, Selangor kekal bawah Pakatan Harapan,” katanya lagi.


Pengarang :