Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Putra Perdana, Sepang pada 17 Februari 2023. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Masjid Taman Putra Perdana pertama kali dikunjungi perdana menteri

SEPANG, 17 FEB: Ahli jawatankuasa Masjid Taman Putra Perdana di sini, teruja dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memilih menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Nazir Masjid Taman Putra Perdana, Adnan Ali berkata ini merupakan kehadiran julung kali seorang perdana menteri ke masjid yang berusia 22 tahun itu.

“Sudah tentu kami amat berbesar hati dengan kehadiran beliau. Beliau adalah perdana menteri pertama yang datang ke masjid ini.

“Kami turut membuat pelbagai persiapan terutamanya dari segi keselamatan, bagi memastikan keselesaan beliau,” katanya kepada Selangorkini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu orang ramai selepas selesai solat Jumaat di Masjid Taman Putra Perdana, Sepang pada 17 Februari 2023. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu Anwar menunaikan solat Jumaat bersama lebih 3,000 jemaah di Masjid Taman Putra Perdana.

Ketibaan beliau pada jam 1.25 tengah hari diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amiruddin Shari dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah.

Adnan berkata, pihak masjid berkesempatan memohon beberapa peruntukan bagi kerja naik taraf dan pembangunan masjid.

“Perdana menteri bersifat terbuka ketika mendengar permintaan kami dan beliau menyatakan persetujuan untuk menimbangkan perkara berkenaan,” katanya.


Pengarang :