Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melika replika rumah idaman selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara di Kwasa Damansara, Shah Alam pada 17 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Bantuan deposit beli rumah dilancar lepas sambutan Aidilfitri

SHAH ALAM, 17 FEB: Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor bagi memudahkan penduduk negeri ini membeli kediaman dilancar selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim diperkenal dalam Belanjawan Selangor 2023 itu akan membantu penduduk menyediakan wang pendahuluan atau deposit.

“Berdasarkan fakta kita mendapati 60 peratus individu yang ditawar Rumah SelangorKu menolak kerana tidak ada duit deposit bagi bayaran wang pendahuluan.

“Sekarang kita tunggu kertas kerja terakhir dan perincian dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Kita akan lihat pembangunan berterusan dan kemakmuran ini dikongsi bersama,” katanya berucap di majlis pecah tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara hari ini.

Pada 25 November ketika membentang belanjawan negeri, Amirudin memaklumkan peruntukan RM100 juta untuk skim itu demi memastikan matlamat pemilikan kediaman dicapai dengan berkesan khusus pembeli pertama.

Jelasnya skim itu dapat mengatasi masalah bakal pembeli yang berdepan isu bayaran pendahuluan atau deposit, beban hutang sedia ada yang tidak teratur, kos membeli perabot asas, kos setem duti dan guaman serta kos sewa rumah.

Skim berkenaan meliputi bantuan:

– Sedia 10 hingga 15 peratus wang pendahuluan bagi pemilikan rumah mampu milik LPHS
– Pembiayaan patuh syariah
– Bayaran bulanan yang tidak membebankan untuk tempoh lima hingga 10 tahun
– Pembayaran balik yang bersifat fleksibel jika membuat penyelesaian awal pembiayaan
– Perkhidmatan untuk pelanggan dipermudah menerusi portal laman sesawang pusat sehenti selain khidmat nasihat kewangan


Pengarang :