Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menerima kalungan bunga malai ketika hadir ke majlis sambutan perayaan Thaipusam peringkat Negeri Selangor Tahun 2023 di Batu Caves, Gombak pada 4 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Budaya ekstrem, pecah belah perpaduan tiada tempat di Selangor

Oleh SHAMZ JOHAN

SELAYANG, 5 FEB: Sebarang budaya ekstrem yang membangkitkan isu kaum dan memecah belah perpaduan tidak dibenarkan di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) menjamin hak dan kebebasan kepada semua kaum mengamalkan agama dan kepercayaan berpandukan Perlembagaan Negara.

“Selagi HARAPAN mentadbir Selangor, kita tidak akan membenarkan nilai-nilai ekstrem mana-mana pihak yang memprovokasi dan memecahbelahkan perpaduan serta kesepakatan dalam masyarakat kita.

“Semua rakyat dijamin hak-hak mereka untuk mempraktis kepercayaan masing-masing. Tetapi janganlah melanggar Perlembagaan Negara, melakukan provokasi, menyakitkan hati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Thaipusam peringkat Selangor di Batu Caves malam tadi. Turut hadir EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan cek cura sumbangan ketika majlis sambutan perayaan Thaipusam peringkat Negeri Selangor Tahun 2023 di Batu Caves, Gombak pada 4 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan 45 cek sumbangan kepada badan pengurusan rumah ibadat bukan Islam di bawah peruntukan EXCO berkenaan.

Pengerusi HARAPAN Selangor menambah, semangat toleransi serta saling menghormati bukan disebabkan perbezaan kepercayaan tetapi kefahaman yang mendalam dalam fikiran rakyat.

“Kita memahami perbezaan (kepercayaan) ini disebabkan kita faham tentang agama (amalan) masing-masing. Saya berharap kita dapat kekalkan kemuafakatan dan kestabilan ini,” katanya lagi.


Pengarang :