KLANG, 18 FEB: Perbincangan membabitkan lima menteri besar dan seorang ketua menteri bagi menentukan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan minggu depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan akan diadakan ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Isnin ini.
“Pertemuan secara rasmi itu insya-Allah akan diadakan pada salah satu hari ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja sama ada Rabu atau Khamis ini.
“Saya juga akan cuba hubungi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) supaya mereka pun ada waktu perbincangan itu.
“Saya yakin mereka (SPR) pun gembira untuk bincang perkara ini kerana ia salah satu cara atau usaha untuk mengurangkan bebanan SPR berbanding perlu susun pilihan raya secara berasingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas santai minum petang di Warung Kukus, Jalan Tepi Sungai di sini hari ini.
Perbincangan itu bertujuan mencari kesepakatan pembubaran DUN bagi memudahkan SPR menentukan tarikh sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Negeri serentak membabitkan enam negeri.
Negeri berkenaan adalah Selangor, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.