Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Mohamad menaiki Vespa sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Klang di Kampung Delek, Klang pada 18 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB, isteri bermotosikal nikmati sarapan di Kampung Delek

KLANG, 18 FEB: Bunyi siren polis mengejutkan Yusoff Kadir, 61, dan beberapa pelanggan yang sedang menikmati sarapan di Restoran D’Jogho, Kampung Delek di sini pagi tadi.

Pemilik restoran terbabit bagaikan sudah menjangka bunyi itu menandakan ada tetamu kenamaan yang akan mengunjungi kedainya.

Pemilik Restoran D’Jogho, Yusoff Kadir

Layanan Yusoff terhadap pelanggan terhenti seketika sebaik melihat kemunculan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad yang menunggang motosikal jenis Vespa.

“Pada awalnya saya memang dimaklumkan beliau (Amirudin) akan datang ke kedai hari ini dan sudah buat persiapan apa yang patut.

“Ingatkan tak ramai yang datang, rupanya ramai pegawai dan rombongan sehinggakan tidak sempat layan sebaiknya sebab kebetulan pelanggan pun ramai serta kakitangan tidak cukup.

“Tetapi saya gembira dan terharu sebab beliau sudi singgah sarapan di kedai saya. Saya minta maaf sekiranya ada kekurangan dan tidak terlayan,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Mohamad bersarapan bersama penduduk selepas menunaikan solat Subuh sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Klang di Restoran D’Jogho, Kampung Delek, Klang pada 18 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin memilih nasi dagang, kuih-muih dan kopi o sebagai juadah sarapan di restoran yang beroperasi sejak lebih 15 tahun lalu.

Dalam kunjungan kira-kira 30 minit itu, beliau sempat beramah mesra dengan pelanggan selain bertanya khabar.

Usai sarapan, Amirudin melawat Jelajah Pasar Rakyat di Pengkalan Nelayan Kampung Delek yang terletak kurang 100 meter dari restoran berkenaan.

Terdahulu, beliau memulakan Jelajah Kita Selangor Penyayang dengan solat subuh berjemaah di Masjid Nurul Amin di sini.


Pengarang :