Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat model rumah ketika majlis pecah tanah Rumah Idaman Bukit Jelutong di Galeri Jualan Rumah Idaman Bukit Jelutong, Shah Alam pada 26 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Lebih 30,000 pembeli Rumah Selangorku terima kunci setakat 1 Januari

SHAH ALAM, 1 FEB: Seramai 33,071 pembeli membabitkan 93 projek Rumah Selangorku menerima kunci setakat 1 Januari tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 16,965 unit rumah lagi sedang dalam pembinaan dan bakinya sedang melalui peringkat kelulusan pembangunan.

“Pemantauan kemajuan akan dipastikan oleh agensi berkaitan dari semasa ke semasa. Kesemua projek ini dibina dengan berkualiti dan ditawarkan dengan harga berpatutan untuk rakyat Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata Skim Bantuan Bina Rumah Selangor turut ditawarkan bagi memudahkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Semua ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat dapat memiliki kediaman yang selesa, berkualiti dan berbaloi pada harga mampu milik.

“Kerajaan Negeri turut menghargai maklum balas baik serta sambutan ramai yang diterima,” katanya lagi.

Sementara itu, menerusi perkongsian infografik di Facebook beliau, sebanyak 386 projek membabitkan 221,671 unit Rumah Selangorku (termasuk Rumah Idaman dan Rumah Harapan) diluluskan setakat 1 Januari tahun ini.

Rumah Selangorku dibangunkan oleh Kerajaan Negeri lebih sedekad lalu untuk membantu penduduk memiliki kediaman sendiri pada harga berpatutan.

Matlamat memastikan rakyat memiliki kediaman berkualiti dan selesa untuk menjamin kesejahteraan keluarga turut terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).


Pengarang :