Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis penyerahan Biasiswa Tabung Pendidikan Anak-Anak Syarikat dan Badan Berkanun Selangor (TPASBB) kepada penerima terpilih di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 3 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Pihak ceroboh hutan simpan projek ECRL diarah henti aktiviti Dis lepas

PETALING JAYA, 3 FEB: Dakwaan Hutan Simpan Hulu Gombak dan Serendah diceroboh seperti dilaporkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar merupakan sebahagian urusan pembinaan projek Laluan Rel pantai Timur (ECRL).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagaimanapun isu timbul apabila pihak terlibat tidak memohon kebenaran meneroka kawasan terbabit yang mahu dijadikan laluan ke pintu masuk projek.

“Kita dapati pencerobohan itu melibatkan kawasan projek ECRL untuk buat terowong dari Serendah ke Gombak. Dan itu memang kawasan diwartakan untuk laluan (ECRL) cuma kebenaran masa itu tidak ada.

“Hal ini sudah ditangani Disember tahun lepas dan pemberhentian terhadap aktiviti. Gambar dipaparkan mungkin yang lama atau kesan tinggalan tersebut,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis ramah mesra bersama penerima biasiswa Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun Kerajaan Selangor semalam.

Amirudin mengulas dakwaan NGO Rimba Disclosure Project berhubung aktiviti pembalakan haram dikesan berlaku sekitar Hutan Simpan Hulu Gombak dan Serendah pada akhir tahun lalu dan awal bulan ini.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer yang melibatkan 59 terowong itu merangkumi kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Jajaran ECRL akan dibina dengan reka bentuk bebas daripada bencana banjir.

Pembinaan di Selangor melibatkan empat daerah itu Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang dengan jajaran sepanjang 90.72km termasuk 32 lot hutan simpan.


Pengarang :