GOMBAK, 26 FEB: Dato’ Menteri Besar memuji inisiatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang mewujudkan sebuah kebun yang dinamakan Laman Herba di pusat khidmat masyarakat berkenaan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat khidmat DUN berkenaan bukan sekadar tempat masyarakat mendapatkan maklumat atau membuat aduan sebaliknya memberi manfaat kepada penduduk.
“Laman Herba ini merupakan salah satu daripada Projek Selangor Penyayang yang kita peruntukan kepada setiap DUN bagi menaik taraf atau mewujudkan fasiliti kepada rakyat.
“Di sini wakil rakyat Hulu Kelang (Saari Sungib) mengambil pendekatan mewujudkan Laman Herba yang saya difahamkan lebih RM30,000 diperuntuk untuk membuat kebun ini,” katanya.

Bercakap selepas merasmikan Laman Herba di pusat khidmat masyarakat DUN Hulu Kelang di sini semalam, Amirudin turut menggalakkan wakil rakyat di DUN lain mewujudkan kebun komuniti seumpama itu di kawasan masing-masing.
Beliau berkata pihaknya juga sedang berusaha menyelesaikan isu tanah bagi merungkai pertembungan antara kerajaan tempatan dan komuniti yang turut membuat program sama.
“Kita cuba selesaikan supaya usaha kebun komuniti dijalankan banyak pihak itu turut mendapat pengiktirafan walaupun adakalanya seolah-olah melanggar ‘zoning’ dan syarat kriteria.
“Memang kebun seperti ini amat membantu dalam rantaian makanan, kita galak (ADN) buat jika berminat tetapi isunya adalah bagaimana ia dibuat dengan konsisten dan bukan buat sekadar bermusim,” katanya lagi.