Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat barang keperluan yang dijual ketika meninjau Jelajah Ehsan Rakyat sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: RM100 juta dana tabung negeri beli vaksin, bukan menerusi KWAN

KLANG, 18 FEB: Selangor gunakan dana Tabung Amanah Warisan Negeri kira-kira RM100 juta bagi membeli vaksin Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Justeru Dato’ Seri Amirudin Shari menafikan pentadbirannya menggunakan pinjaman Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk mendapatkan cecair vaksinasi terbabit.

“Kita tak ada buat pinjaman KWAN. Saya rasa ada khilaf (kenyataan) tentang pembelian vaksin itu. Lebih kurang RM100 juta yang kita keluarkan.

“Saya tak rasa pembelian vaksin dibuat menerusi KWAN,” katanya ditemui pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari walkabout ke ruang pameran Iltizam Selangor Penyayang (ISP) sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kelmarin Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid memaklumkan Selangor dan Sabah masih belum mengembalikan dana KWAN iaitu peruntukan bagi membiayai perolehan vaksin Covid-19.

Amirudin berkata pihaknya hanya menerima wang daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menjayakan proses Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni orang ramai ketika melawat khemah Selangor Saring sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kos itu untuk pengurusan tempat PICK. Untuk sediakan dewan, makanan dan baik pulih beberapa kemudahan di dewan. Itu bukan pinjaman tetapi pemberian MOSTI.

“Masih ada baki RM41 juta. Kita akan pulangkan kepada Kementerian Kewangan sebab itu memang peruntukan yang diberikan kementerian,” katanya.


Pengarang :