Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Syarahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, “Reformasi Pendidikan untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia” di Unisel Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB yakin kepimpinan PM bawa hala tuju jelas jadikan Malaysia lebih baik

KUALA SELANGOR, 9 FEB: Dato’ Menteri Besar yakin kewibawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 mampu membina Malaysia yang lebih baik dan bersatu padu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kepemimpinan Anwar mentadbir akan membawa hala tuju jelas kepada negara, rakyat, bangsa dan keturunan sekali gus membentuk permuafakatan.

“Saya percaya dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 dan hari ini akan diserlahkan lagi dengan ucapan beliau selaku ucapan ulung pertama Kursi Siddiq Fadzil yang bawa hala tuju jelas kepada negara,” katanya.

Beliau berucap pada program Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya yang disampaikan perdana menteri di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata tokoh ilmuwan Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil sering mengingatkan bahawa identiti, tradisi dan kehidupan Melayu serta Islam tidak boleh dikurangkan dalam proses membina bangsa Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama pelajar dan kakitangan ketika Syarahan Reformasi Pendidikan untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Unisel Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Dalam ucapannya pada 2019 mengingatkan kita di saat bina bangsa Malaysia, kita tidak boleh hilangkan rasa cinta kepada Islam. Beliau ingatkan kepentingan kita untuk bina bangsa Malaysia yang bersatu padu, muafakat dan erat,” katanya.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri menubuhkan Kursi Siddiq Fadzil di Unisel dengan dana RM1 juta bertujuan menggalakkan wacana keharmonian dan kesederhanaan.

Kerajaan Negeri turut bersetuju menambah RM4 juta lagi sebagai menghargai ilmuwan itu yang banyak berjasa kepada negara dalam memartabatkan bahasa Melayu dan Islam.

Dr Siddiq Fadzil yang meninggal dunia pada 31 Ogos 2021 pernah menjadi presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, presiden Angkatan Belia Islam Malaysia dan presiden Wadah.

Bapa tujuh anak itu juga pernah menyandang jawatan pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), pengerusi Kajian Maqasid Shariah IDE dan pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia.

 


Pengarang :