Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI sedia dana RM18,000 anjur bengkel cipta permainan, cungkil bakat pelajar

SHAH ALAM, 13 FEB: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menganjurkan bengkel bina ‘games’ junior secara percuma sempena cuti sekolah selama tiga hari bermula 21 Februari ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata bengkel dengan peruntukan RM18,000 melibatkan pelajar berusia 10 hingga 15 tahun itu berlangsung di Pustaka Raja Tun Uda di sini.

“Bengkel julung kali diadakan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Shah Alam ini bertujuan mencungkil bakat pelajar yang berkemahiran mencipta permainan (game) sendiri sekali gus memanfaatkan cuti sekolah.

“Pada awalnya 20 peserta terlibat setiap hari tetapi susulan sambutan menggalakkan kita menambah 10 lagi individu bagi setiap sesi dan menutup pendaftaran lebih awal dari tempoh ditetapkan pada 20 Februari,” katanya kepada SelangorKini.

Ahmad Azri berkata setiap pelajar terlibat dibimbing oleh sebuah syarikat tempatan yang membangunkan aplikasi mudah alih, Raxbit.

“MBI juga bercadang meneruskan bengkel ini di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berhampiran dengan Pustaka Raja Tun Uda berikutan sambutan diterima menggalakkan,” katanya.


Pengarang :