PBTSELANGOR

MBPJ tutup jalan, simpang untuk laluan kontra selama tiga bulan mulai 1 Mac

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 18 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menutup beberapa jalan dan persimpangan ketika pelaksanaan laluan kontra bermula 1 Mac ini.

Penutupan jalan selama tiga bulan (tempoh percubaan) itu bermula dari jam 5 petang hingga 7.30 malam setiap hari kecuali Sabtu, Ahad, cuti umum dan ketika hujan.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata antara jalan dan persimpangan terlibat ialah Persimpangan Jalan Othman–Jalan Templer, Persimpangan Jalan Gasing–Jalan Templer, Persimpangan Jalan Templer–Jalan 6/29 dan setiap bukaan median di Jalan Templer.

Menurutnya penutupan jalan dan simpang itu hanya dibuat ketika pelaksanaan laluan kontra sahaja.

“Kenderaan dari arah Jalan Gasing untuk ke Jalan Othman atau kawasan Melayu perlu melalui Jalan Changgai 6/22 atau melalui Jalan Anak Gasing 6/5-Jalan Tinggi 6/12–Jalan Selangor.

“Kenderaan dari arah Jalan Othman ke Lebuhraya Pantai Baru (NPE) perlu membuat pusingan U di Bulatan Assunta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya pengguna jalan raya dari arah Pusat Bandar Petaling Jaya, Seksyen 52/ Lebuhraya Persekutuan boleh menggunakan laluan kontra ini untuk pemanduan lebih lancar.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan memandu berhati-hati dan mematuhi papan tanda yang disediakan di lokasi.

“Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi Unit Lalu Lintas, Jabatan Kejuruteraan MBPJ di talian 03-79584221 atau e-mel [email protected],” kata kenyataan itu.


Pengarang :