Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertemakan Citrawarna di Dataran Kemerdekaan pada 12 Februari 2023. Foto MBSA
PBTSELANGOR

MBSA jemput orang ramai meriahkan Hari Tanpa Kenderaan Ahad ini

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 10 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjemput orang ramai memeriahkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bertemakan Citrawarna di Dataran Kemerdekaan Ahad ini.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti ‘IMR 123 Fun Run’, kayuhan santai, senamrobik serta persembahan tarian kebudayaan, kombo MBSA, silat dan angklung.

“Pihak MBSA juga turut menyediakan aktiviti untuk kanak-kanak seperti Inflatable Balloon, petting zoo, mewarna, wayang pacak dan aktiviti kraf di Perpustakaan Bergerak Anggerik Vanilla.

“Orang ramai turut berpeluang membuat saringan kesihatan percuma dan bagi belia yang sedang mencari pekerjaan, pihak McDonalds turut membuka pameran kerjaya,” kata Shahrin Ahmad.

Ujarnya, aktiviti lain diadakan adalah kraf seni oleh Galeri Shah Alam, promosi produk TNB, klinik silat, ragbi, memanah dan futsal serta pelbagai perkhidmatan MBSA antaranya pengoperasian pejabat bergerak Shah Alam On Wheels.

“MBSA juga akan menutup sebahagian jalan bagi melancarkan penganjuran melibatkan Persiaran Bandaraya, Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai mulai pukul 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh tersebut. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 03-5522 2734,” katanya.


Pengarang :