Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) menyampaikan anugerah PBT paling aktif kepada Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid (tiga, kanan) pada majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 20 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA, MPSepang terima anugerah khas inisiatif rendah karbon

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima 26 anugerah termasuk Anugerah Khas bagi kategori pihak berkuasa tempatan (PBT) paling aktif melaksana inisiatif rendah karbon pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 malam tadi.

Pihak berkuasa tempatan itu turut menerima 25 Anugerah Pengiktirafan Diamond bagi cabaran bandar rendah karbon 2030 yang disampaikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata perancangan ke arah bandar raya rendah karbon bukanlah baru dilaksanakan sebaliknya jangka masa panjang sejak beberapa tahun lalu.

“Komitmen diterima amat baik dan mendapat kerjasama pelbagai pihak khususnya rakan-rakan strategik seperti pemilik bangunan di pusat bandar yang turut sama berusaha untuk menjadikan Shah Alam sebagai Bandar Rendah Karbon menjelang 2030.

“Pada tahun ini, kita akan memfokuskan untuk menganjurkan program rendah karbon membabitkan komuniti dan sekolah dengan menggunakan peruntukan wang daripada kutipan caj beg plastik.

“Kita mahu penglibatan lebih banyak di peringkat sekolah kerana ia sebahagian usaha mendidik pelajar terutama kanak-kanak tentang kesedaran persekitaran bandar rendah karbon,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Majlis Perbandaran Sepang menerima Anugerah Khas bagi kategori pengurangan karbon terbanyak iaitu 60,373 tan karbon dioksida.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid (kanan) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abdul Hamid Hussain bersama anugerah yang diterima pada majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 20 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pihaknya bersyukur dengan penerimaan anugerah diberikan dan ia merupakan hasil pelaksanaan inisiatif ke arah rendah karbon.

“Pelbagai inisiatif kita lakukan seperti penanaman pokok dan melaksanakan penukaran lampu dengan memasang jenis solar terutama di Cyberjaya. Setiap tahun kita sasar peningkatan pengurangan rendah karbon dan jangka penurunan 30 peratus menjelang 2030.

“Kita sentiasa menggalakkan agensi dan jabatan terutama pihak swasta untuk sama-sama bekerjasama ke arah pengurangan karbon,” katanya.


Pengarang :