PBTSELANGOR

MBSA: Pemegang harta diminta jelaskan cukai taksiran sebelum atau pada 28 Feb

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 6 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengingatkan semua pemegang harta supaya menjelaskan cukai taksiran bagi penggal pertama 2023 sebelum atau pada 28 Februari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Shahrin Ahmad berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyediakan pelbagai saluran untuk menjelaskan cukai taksiran termasuk melalui dalam talian.

“Pembayaran ini dapat membantu MBSA menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan dan menyelenggara infrastruktur awam seperti jalan, lampu jalan, longkang serta membina lebih banyak taman awam.

“Kutipan cukai ini juga dapat membantu MBSA menguruskan bandar raya dengan lebih cekap dan efisien sekali gus dapat memberi keselesaan hidup kepada masyarakat di sini,” katanya.

Menurut beliau, pembayaran dalam talian boleh dibuat menerusi
www.mymbsa.gov.my, www.pbtpay.kpkt.gov.my, www.maybank2u.com.my, www.rhbgroup.com, www.bankislam.com.my, www.cimbclicks.com.my, www.i-muamalat.com.my, www.pbebank.com dan www.cimb-bizchannel.com.my.

“Saluran bayaran melalui JomPAY juga disediakan dan pembayar hanya perlu memasukkan biller code: 7567, nombor akaun baharu pada Ref-1 dan nombor telefon pada Ref-2 dan seterusnya memasukkan jumlah bayaran.

“Pembayaran cukai taksiran juga boleh dijelaskan di kaunter pandu lalu MBSA yang beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1295, 1522, 1531 dan 1656.


Pengarang :