Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada sidang media selepas sesi lawatan kerja ke Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya pada 7 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Agensi berkaitan diarah siasat nahas di Genting Highlands

PUTRAJAYA, 9 FEB: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan untuk melakukan siasatan segera ke atas syarikat operator van persiaran yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, Pahang, semalam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dan mengkaji punca kemalangan tersebut.

“MIROS bertanggungjawab mengkaji keselamatan keadaan jalan di sana dan laporan dapatan kesemua agensi ini akan diberikan kepada pihak Kementerian Kerja Raya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata antara fokus utama siasatan kes kemalangan maut itu termasuk reka bentuk jalan raya dan selekoh di lokasi kejadian yang akan dikenal pasti sekiranya ia membahayakan pengguna.

Menurutnya ini kerana kemalangan tersebut berlaku disebabkan kenderaan yang dinaiki mangsa hilang kawalan semasa mendekati selekoh tajam di kawasan berkenaan.

Tujuh dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah van persiaran yang dikatakan terbabas ketika dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari Genting Highlands dalam kejadian kira-kira 1.15 petang semalam.

Enam mangsa termasuk pemandu van berkenaan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

– BERNAMA


Pengarang :