Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa bercakap ketika sidang media selepas majlis perasmian Hospital Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Bilangan doktor gigi di klinik, hospital kerajaan ditambah tahun ini

KUALA SELANGOR, 9 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menempatkan lebih ramai doktor gigi bagi menangani isu kesesakan pesakit di klinik kesihatan dan hospital kerajaan pada tahun ini.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya turut mengadakan libat urus dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi membincangkan perkara tersebut.

“Kita memahami isu kekurangan doktor gigi selain masalah berkaitan fasiliti kesihatan. Pengambilan doktor gigi bertambah tiga kali ganda sejak dua tahun lepas dengan 477 doktor pada 2022 berbanding 154 tahun sebelumnya.

“Usaha ini (pengambilan doktor gigi) masih dijalankan dan kita akan menempatkan lebih banyak doktor gigi tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Hospital Tanjong Karang hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa pendekatan lain akan diambil bagi mengatasi masalah kesesakan di hospital dan klinik kesihatan.

“Perkara kita cuba laksanakan adalah menerima pesakit secara pandu lalu ke klinik pergigian dan memperkenalkan klinik Dental Komuniti. Ia akan diperhalusi secara menyeluruh,” katanya.


Pengarang :