Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (kanan) meninjau kegiatan komuniti setempat menggunakan perkhidmatan yang disediakan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) ketika melawat Kampung Sentul Patah di Marang, Terengganu pada 14 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Hasrat tubuh suruhanjaya kukuh keselamatan siber, banteras penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Kementerian Komunikasi dan Digital berhasrat mengukuhkan isu keselamatan siber di negara ini dengan mewujudkan Suruhanjaya Keselamatan Siber.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata penubuhan itu bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ yang kini dilihat semakin parah apabila lebih 25,000 jenayah direkodkan pada tahun lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil ketika sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 24 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita juga menyambut baik dengan pengumuman dalam Belanjawan Persekutuan 2023 terhadap peruntukan dana kepada National Scam Response Centre (NSRC) sebanyak RM10 juta.

“Tiga langkah penting banteras jenayah siber ketika ini adalah dengan mengukuhkan NSRC, meminda Akta Perlindungan Peribadi dan mewujudkan Suruhanjaya Siber,” katanya ketika ditemui di Parlimen di sini semalam.

Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai menyambut baik hasrat kerajaan yang mahu mewujudkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kemudahan ini dapat memberi manfaat kepada rakyat selain membantu peniaga kecil dengan pengetahuan teknologi maklumat serta serta e-dagang.

“Selain itu, saya turut menyambut baik dengan pengumuman kerajaan berhubung tambahan caruman simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM500 yang mana amat bertanggungjawab dan selamatkan rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, kerajaan bersetuju menambah caruman simpanan KWSP sebanyak RM500 kepada ahli yang berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan kurang RM10,000 dalam Akaun 1.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam berkata program itu akan memberi manfaat kepada dua juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion.


Pengarang :