Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (kanan) menyampaikan sumbangan ketika melawat pelakon dan pelawak Ebby Yus di kediamannya di Kampung Baru pada 26 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri mahu bantu Ebby Yus, penggiat seni berbakat terbit program sendiri

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan komited untuk membantu pelawak Ebby Yus yang kini berdepan masalah kesihatan untuk menerbitkan program sesuai dengan kebolehan dirinya.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menjelaskan Ebby yang bertapak lama dalam industri seni layak mendapat peluang tersebut kerana bakat yang dimiliki, lapor Berita Harian.

“Sebelum ini, timbul persepsi mendakwa industri filem dan produksi kita dikuasai kartel. Jadi, saya ingin menghancurkan mitos itu.

“Saya mahu pastikan lebih ramai penerbit dan pembikin filem berbakat dan layak mendapat peluang,” katanya selepas menziarahi Ebby di kediamannya di Kampung Baru di sini, petang semalam.

Dalam pertemuan itu, Fahmi turut menyerahkan bantuan kepada Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 58, yang terjejas pendapatan akibat masalah buah pinggang dan jantung.

Sementara itu, Ebby yang baharu selesai selepas menjalani rawatan di hospital  tidak mahu terlalu selesa dengan bantuan insan prihatin, sebaliknya mahu terus bekerja selagi kudrat ada.

“Saya tidak mahu naik ‘lemak’ dengan sumbangan, padahal saya sudah diberi kekuatan oleh Allah untuk bekerja. Jadi, saya tidak mahu menjadi orang yang meminta-minta,” katanya.

 


Pengarang :