Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kiri) menghadiri Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) di Jakarta pada 4 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Menteri-menteri luar ASEAN kecam tindakan pelampau bakar al-Quran

JAKARTA, 5 FEB: Menteri-menteri luar ASEAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau di negara tertentu yang membakar dan mencemarkan kitab suci al-Quran bulan lepas.

“Tindakan ini telah menyakiti dan mencemarkan toleransi beragama,” menurut kenyataan Pengerusi mesyuarat majlis penyelaras ASEAN dan pemukiman menteri-menteri luar pada Ahad.

Perhimpunan tahunan menteri-menteri luar ASEAN menegaskan bahawa kebebasan bersuara mesti dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab.

Mereka mengesahkan komitmen ASEAN untuk terus menggalakkan dialog dan persefahaman serta kewujudan bersama secara aman dan harmoni dalam komuniti global yang pelbagai.

Pada 21 Januari, Rasmus Paludan, ketua parti sayap kanan Denmark, Stram Kurs (Hard Line) bertindak membakar salinan al-Quran di hadapan sebuah masjid di Denmark, beberapa hari selepas dia membakar al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Sweden.

Dalam provokasi lain, Edwin Wagensveld, ketua kumpulan Islamofobia Pegida, turut membakar halaman al-Quran di The Hague pada 22 Januari hingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, menteri-menteri luar juga menyuarakan kebimbangan mengenai ujian peluru berpandu balistik antara benua Korea Utara dan pelancaran peluru berpandu balistik baru-baru ini.

Menteri-menteri luar menekankan kepentingan dialog secara aman yang berterusan demi merealisasikan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Semenanjung Korea.

“Kami menggesa semua pihak yang berkaitan untuk mengelakkan sebarang perbuatan dan tindak balas ketenteraan yang boleh meningkatkan ketegangan,” menurut menteri-menteri luar.

Situasi di Laut China Selatan juga dibincangkan termasuk berkaitan tebus guna tanah, perkembangan terkini dan insiden serius yang menghakis kepercayaan dan keyakinan.

Menteri-menteri luar turut menegaskan keperluan untuk meneruskan penyelesaian secara aman berhubung pertikaian itu di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut. – BERNAMA


Pengarang :