Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) merasmikan Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat dan Taman Eko Langat, Kuala Lumpur pada 22 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Peruntuk RM20 juta pulihara sungai, kurang risiko bah di Selangor

SHAH ALAM, 23 FEB: Sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi menjayakan projek pemuliharaan sungai di Selangor pada tahun lepas, kata menteri sumber asli.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata jumlah yang disalur menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 bertujuan mengurangkan risiko banjir di negeri tersebut.

Jelas beliau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor membelanjakan hampir RM1.4 juta untuk melaksanakan lima projek mitigasi jangka pendek di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru, Sementa dan Selat Klang.

“JPS juga merancang melaksanakan projek tebatan banjir di Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar tertakluk kelulusan daripada agensi pusat.

“Skop pelaksanaan projek tebatan banjir di Kapar ini termasuklah pembinaan kolam tadahan air. Projek ini diharap dapat menangani masalah banjir secara keseluruhan,” katanya menggulung usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata Kerajaan Negeri turut menyalurkan sejumlah RM67.5 juta kepada JPS untuk melaksanakan empat projek tebatan banjir.

Sementara itu Nik Nazmi berkata agensi turut melaksanakan projek kawalan hakisan dan memperkukuh benteng di Sungai Kajang, Tanjong Karang bagi mengatasi masalah limpahan air laut.

“Projek ini melibatkan kerja pembinaan dan meninggikan ban pantai sepanjang dua kilometer. Sekarang di peringkat memuktamadkan reka bentuk dan dijangka bermul Julai ini selama 18 bulan,” katanya.


Pengarang :