Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Pengurangan Karbon Terbanyak kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abdul Hamid Hussain (dua, kanan) ketika majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 20 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Selangor antara peneraju rancangan bandar rendah karbon, wajar dicontohi negeri lain

SHAH ALAM, 20 FEB: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memuji langkah Selangor yang mengambil langkah awal melaksana rangka kerja bandar rendah karbon.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usaha Selangor itu harus dipuji dan wajar dicontohi oleh negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

“Selangor antara negeri terawal melaksanakan rangka kerja bandar rendah karbon dalam perancangan di semua PBT. Malah PBT, pejabat daerah dan tanah serta jabatan atau agensi negeri juga giat melaksana kempen kesedaran, pendidikan dan amalan gaya hidup.

“Tahniah diucapkan. Perkara ini wajar dicontohi oleh negeri dan PBT yang lain di Malaysia,” katanya berucap pada Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim.

Pada majlis tersebut, Majlis Bandaraya Shah Alam menerima Anugerah Khas (PBT Paling Aktif) manakala Anugerah Pengurangan Karbon Terbanyak pula diberikan kepada Majlis Perbandaran Sepang.

Pada 27 Julai tahun lepas, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antara lain memberi fokus untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.


Pengarang :