Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Minuman keras bernilai lebih RM200,000 dirampas, dua lelaki ditahan

SHAH ALAM, 6 FEB: Polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai bernilai RM269,086 di kawasan Taman Chi Liung, Pandamaran, 31 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata tangkapan terhadap dua lelaki berusia 25 tahun itu dilakukan jam 5 petang apabila Unit Risikan Marin, Pelabuhan Klang menjalankan rondaan di kawasan itu.

“Semasa rondaan dijalankan, pihak polis terserempak dengan sebuah lori dan ketika itu kedua-dua lelaki berkenaan sedang memunggah kotak untuk disimpan di sebuah gudang.

“Polis merampas 317 botol dan 7,560 tin pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai. Keseluruhan nilai harga barang rampasan RM269,086.08,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, Cha berkata Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan menahan reman kedua-dua lelaki berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :