Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ lepasi sasaran, kutip tunggakan cukai taksiran RM25.5 juta

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 2 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berjaya menggutip tunggakan cukai taksiran sebanyak RM25.5 juta atau 170.52 peratus dari Januari hingga Disember tahun lalu.

Yang Dipertua Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata jumlah direkod itu menyaksikan MPAJ berjaya melepasi sasaran kutipan iaitu RM15 juta berdasarkan anggaran belanjawan 2022.

“Selain itu kita mengutip cukai taksiran sebanyak RM77.9 juta dalam tempoh sama iaitu kurang 8.29 peratus berbanding jumlah keseluruhan RM85 juta.

“Kutipan itu dicapai hasil kempen dan promosi dilaksana MPAJ melalui Jabatan Hasil selain tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan surat peringatan bagi Januari melibatkan 990 harta mempunyai tunggakan cukai taksiran RM1.7 juta,” katanya dalam ucapan Mesyuarat Penuh MPAJ semalam.

Sehubungan itu, Mohd Fauzi berkata Jabatan Hasil MPAJ meneruskan Kempen Jom Bayar Cukai Taksiran dan promosi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah keseluruhan RM300,000 bagi menggalakkan pemilik harta membayar cukai.

Menurutnya, kawasan pemilikan harta terlibat ialah Ampang Saujana, Taman Cempaka, Bukit Bayu, Pandan Indah, Bukit Segar, Pandan Perdana dan Lembah Jaya.

“Pemilik harta boleh membuat semakan dan bayaran cukai taksiran melalui akaun ICOMM, JomPay, kaunter bergerak atau datang ke kaunter pembayaran dan kiosk di aras 4 Menara MPAJ,” katanya.


Pengarang :