Struktur binaan sebuah kediaman dua tingkat yang dibina tanpa kebenaran di Kampung Dato Mufti, Ampang dirobohkan MPAJ susulan aduan dan bantahan penduduk. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ roboh kediaman dibina tanpa kebenaran hasil aduan awam

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 16 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merobohkan struktur sebuah kediaman dua tingkat yang dibina tanpa kebenaran di Kampung Dato Mufti, Ampang selepas mendapat bantahan daripada  penduduk setempat.

Menurut bahagian perhubungan awam dan sekretariatnya aduan dan bantahan berhubung pembinaan tersebut diterima sejak 2017.  Malah, notis meroboh sendiri binaan juga pernah dikeluarkan kepada pemilik kediaman itu sebelum ini.

“Aduan mengenai isu ini diterima sejak 2017. Beberapa notis dan arahan telah dikeluarkan kepada pemilik supaya mengemukakan surat dan pelan kelulusan bangunan, menghentikan kerja di tapak serta meroboh sendiri binaan yang didirikan. Namun pemilik gagal berbuat demikian.

“Pada 2018 MPAJ telah merobohkan sebahagian struktur bangunan dan menyita bahan binaan, namun pemilik tetap meneruskan pembinaan rumah di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, MPAJ berkata pada 28 Oktober tahun lalu pihaknya mengeluarkan Notis 72(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133) kepada pemilik atas kesalahan mendirikan bangunan tanpa kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan.

Namun agensi itu berkata tiada sebarang tindakan diambil pemilik ke atas notis tersebut.

“MPAJ ingin menegaskan perbuatan mendirikan struktur atau bangunan tanpa kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan adalah kesalahan. MPAJ akan mengambil tindakan sekiranya pemilik gagal mematuhi notis yang dikeluarkan.

“Mana-mana pihak yang ingin mendirikan struktur bangunan dinasihatkan mengemukakan permohonan dan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sebelum kerja pembinaan dilaksanakan,” katanya.


Pengarang :