Oleh Azian Aziz
AMPANG JAYA, 4 FEB: Kompleks membeli-belah Ampang Point antara lokasi tumpuan awam yang menyediakan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tahun ini.
Yang Dipertua Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pemasangan stesen pengecas tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai menggunakan kenderaan elektrik sekali gus mengurangkan pembebasan karbon.

“Sejak 2015, kawasan MPAJ telah mempunyai tiga stesen pengecas EV iaitu di Menara MPAJ, Kompleks Star Arena dan Masjid Bukit Indah.
“Untuk tahun ini, kita telah didatangi beberapa syarikat yang berminat memang alat pengecas EV dan selepas perbincangan minggu lepas kita dalam proses untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai.
“Kita juga akan syaratkan kawasan komersial untuk pasang pengecas EV ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian dan penyampaian hadiah pertandingan sempena Sambutan Hari Alam Sekitar peringkat MPAJ di Auditorium Menara MPAJ malam tadi.
Ditanya adakah stesen pengecas sedia ada di MPAJ kerap digunakan pemilik kenderaan elektrik, Mohd Fauzi memberitahu, setiap kawasan mempunyai pelanggan tetap yang menggunakannya setiap hari.
“Kita amat menggalakkan pemakaian kenderaan elektrik ini demi menjaga kelestarian alam sekitar kita,’’ katanya.
Pada Julai tahun lepas, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian memaklumkan sebanyak 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik akan diwujudkan di tempat awam menjelang 2025 dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan swasta.