Permandangan Bandar Klang. Foto Tourism Selangor
PBTSELANGOR

MPK pelawa pengusaha industri berteknologi sertai libat urus pelan bandar pintar

SHAH ALAM, 9 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mempelawa mana-mana syarikat, pengusaha industri berteknologi atau organisasi perniagaan sertai sesi libat urus Pelan Tindakan Bandar Pintar MPK 2030.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata penyediaan pelan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Persekutuan (PLANMalaysia) kini dalam proses akhir.

“Sesi libat urus ini diadakan bertujuan memahami teknologi pintar yang ada dan MPK ingin meneroka lebih lanjut jika ia boleh dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada penyelesaian dalam Pelan Tindakan Bandar Pintar MPK 2030.

“Justeru, kami mengalu-alukan semua syarikat, pengusaha industri berteknologi atau mana-mana organisasi perniagaan termasuk ahli akademik yang menyediakan penyelesaian pintar terlibat dalam sesi ini,” maklumnya menerusi Facebook.

Menurutnya, pelan tindakan itu akan menjadi rujukan dan panduan kepada agensi kerajaan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan ke arah mencapai visi Klang Bandar Pintar menjelang 2030.

“Perkara ini penting bagi memberikan pandangan ke arah perancangan bandar pintar yang lebih baik bagi mencapai visi Pelan Tindakan Bandar Pintar MPK menjelang 2030,” katanya.

Mana-mana syarikat, organisasi atau pengusaha yang berminat untuk sertai sesi libat urus ini boleh daftarkan diri menerusi pautan forms.gle/iAXXaCaPfjumPdtHA sebelum atau pada 10 Februari (esok).


Pengarang :