KLANG, 9 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyasarkan 1,000 peserta menyertai Kayuhan Menjunjung Kasih edisi ketiga bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada 12 Mac ini.
Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata setakat ini pihaknya menerima 300 penyertaan meski baharu sahaja dilancarkan semalam dan pendaftaran masih dibuka sehingga 15 Februari.
“Sejak diadakan pada 2017 sambutan amat memberangsangkan manakala pada edisi kedua pada 2019 pula kita menerima penyertaan seramai 1,700 peserta dengan jarak kayuhan 37.1 kilometer (km).
“Tahun ini kita tambah jarak kepada 50km yang mana lebih banyak kawasan dilalui antaranya Jambatan Raja Muda Nala dan Jambatan Kota termasuk melihat keunikan bangunan warisan di sekitar Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kayuhan Menjunjung Kasih Edisi Ketiga Bersama DYTM Raja Muda Selangor di Ibu Pejabat MPK di sini semalam.
Noraini mengalu-alukan orang ramai turut serta dan menyarankan segera mendaftar berikutan penyertaan adalah terhad dan bayaran dikenakan hanya RM50 seorang.
Acara itu turut mendapat tajaan utama daripada Sime Darby Property (Sime Darby), Kossan Rubber Industries Bhd, Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Samsung Electronics (M) Sdn Bhd, Sugarbomb Group, Luqsports Performance and Recovery Center, Proton Malaysia dan V-Sure.
Penyertaan dibuka kepada individu berusia 15 tahun ke atas dan pendaftaran boleh dibuat dengan melayari pautan https://chckpointspot.asia/event/kayuhan-menjunjung-kasih-23 .
Setiap peserta akan menerima sehelai baju, medal penamat, e-sijil, makanan dan layak menyertai cabutan bertuah.
Maklumat lanjut mengenai program boleh hubungi talian 010-829 8687/ 012-324 2333/ 013-939 8999 atau e-mel [email protected] .