Atlet lontar peluru paralimpik negara Muhammad Ziyad Zokefli beraksi pada acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Muhammad Ziyad, Abdul Latif raih emas di Grand Prix Olahraga Para Dunia Tunisia

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Dua jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli dan Datuk Abdul Latif Romly berada dalam kelas tersendiri apabila meraih pingat emas pada hari terakhir Grand Prix Olahraga Para Dunia 2023 di Stadium Olahraga Rades, Tunis, Tunisia semalam.

Menerusi laman sesawang kejohanan, https://2023.npctunisia.tn/, Muhammad Ziyad, pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 dan dua kali juara dunia pada 2013 dan 2017, melakukan lontaran sejauh 15.93 meter (m) pada aksi final acara lontar peluru F11/12/20 (masalah pembelajaran).

Balingan penuh bertenaga itu mengetepikan pesaing dari Uzbekistan Elbek Sultanov yang mencatat 14.16m manakala gangsa milik atlet Tunisia Amir Soltane dengan 10.51m.

Sementara itu, Abdul Latif Romly yang muncul juara Paralimpik dua kali pada 2016 dan 2020, nyata unggul apabila mencatat 6.90m dalam acara lompat jauh T13/20 (masalah intelektual), meninggalkan pencabar dari Arab Saudi Hassan Dawshi yang merekodkan 6.08m untuk perak.

Jaguh lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly. Foto Twitter Team Malaysia

Mohamed Camara dari Guiena terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa setelah melakukan lompatan 5.12m.

Kejayaan menambah dua pingat emas pada hari terakhir kejohanan itu menyaksikan kontinjen negara cemerlang dengan membawa pulang tiga pingat emas dan satu perak.

Isnin lepas, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi membuktikan masih berbisa apabila merangkul emas acara 100m T35/36 (kecacatan fizikal).

Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah pula berjaya meraih perak bagi acara 100m T11/12 (masalah penglihatan) dengan mencatat masa 11.67s.

– BERNAMA


Pengarang :