Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Orang ramai dipelawa sertai webinar Arena Wati 22 Februari ini

SHAH ALAM, 5 FEB: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mempelawa orang ramai menyertai webinar pemikiran Allahyarham Datuk Arena Wati pada 22 Februari ini.

PPAS memaklumkan seminar dalam talian mengenai Sasterawan Negara kelima itu diadakan di platform Zoom, Facebook Pustaka Raja Tun Uda serta Selangor Library.

Webinar dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang disertai lima tokoh iaitu Sasterawan Negara Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan serta pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Kamariah Kamarudin.

Tiga lagi ahli panel ialah Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Dr Mohamad Saleeh Rahamad; pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Che Abdullah Che Ya dan penulis buku Indonesia, Kirana Kejora.

Peserta diminta mendaftar di pautan https://bit.ly/WP-AW-2023 bagi membolehkan urus setia menghantar bahan pembentangan dan sijil penyertaan dalam tempoh tujuh hari selepas tarikh pembentangan.

Arena Wati atau nama sebenarnya Muhammad Dahlan Abdul Biang yang menulis karya mengenai masalah kelompok bawahan dan nasib golongan tertindas dianugerah sebagai Sasterawan Negara pada 1988.

Allahyarham yang pernah menceburkan diri dalam dunia kewartawanan sekitar 1954 meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia ketika berumur 84 tahun akibat barah paru-paru pada 25 Januari 2009.


Pengarang :