Oleh DIANA ABD WAHAB
PETALING JAYA, 26 FEB: Kementerian Komunikasi dan Digital dengan kerjasama syarikat komunikasi akan mewujudkan Pakej Perpaduan dalam usaha menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada rakyat.
Menterinya berkata menerusi pakej tersebut syarikat komunikasi menawarkan perkhidmatan jalur lebar pada separuh harga dan tiga kali ganda lebih laju berbanding khidmat jalur lebar sedia ada ketika ini.

“Menjelang 28 Februari syarikat telekomunikasi akan sedia khidmat jalur lebar yang bukan hanya memanfaatkan golongan berpendapatan rendah (B40).
“Malah golongan dari usia 12 hingga 30 tahun, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) turut terima manfaat dengan tawaran data prabayar serendah RM5 sebulan dengan kelajuan internet tiga megabit sesaat (Mbps),” kata Fahmi Fadzil.
Beliau berkata demikian pada sesi ucaptama dan perasmian Konvensyen Pemantapan Penerangan Keadilan Selangor di Hotel TH di sini, hari ini.
Fahmi berkata penyedia perkhidmatan jalur lebar Unifi juga akan mengurangkan harga pakej asasnya daripada RM89 kepada 69 mulai pertengahan atau akhir Mac ini.
Jelasnya syarikat telekomunikasi Time dotCom Berhad (Time) turut menawarkan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan 100 Mbps pada harga RM69 sebulan bagi pengguna yang tinggal di kawasan perumahan program perumahan rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.