Majlis Perbandaran Klang berjaya menumpaskan kegiatan membuang sampah haram dan menyita sebuah lori dalam operasi di Jalan Sungai Bertek, Klang pada 8 November 2022. Foto Facebook MPK
PBTSELANGOR

Pasukan khas J-Force MPK pantau kebersihan Klang, pesalah bakal dikenakan tindakan tegas

SHAH ALAM, 28 FEB: Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan tidak menjaga kebersihan di Klang terus dipergiat melalui Pasukan Khas J-Force.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata J-Force membabitkan 104 keanggotaan yang menjalankan operasi bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.

“Ia membabitkan lokaliti yang telah dikenal pasti di Klang Utara dan Klang Selatan seperti Taman Sri Andalas, Taman Sentosa, Taman Eng Ann dan Meru,” kata Noraini Roslan.

Noraini turut mengingatkan kompaun yang dikeluarkan kepada pesalah adalah kompaun tanpa rayuan dan tiada pengurangan kadar kompaun boleh diberikan.

“Penguatkuasaan ini akan membabitkan beberapa jabatan di bawah MPK termasuk Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Pengurusan Harta, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Kesihatan,” katanya.

MPK sebelum ini pernah mengeluarkan kompaun ke atas individu yang dikesan membuang sampah di tempat awam sekitar pusat bandar Klang.


Pengarang :