Peguam syarie baharu dilantik mengangkat sumpah selepas majlis pengisytiharan dan pentauliahan di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) pada 9 Februari 2023. Foto Facebook Jakess
AGENDANASIONAL

Peguam syarie Selangor dinasihat titik berat anak guam, etika mahkamah

SHAH ALAM, 10 FEB: Peguam syarie negeri ini dinasihat supaya sentiasa menitik berat perihal anak guam dan etika mahkamah semasa menjalankan tugas.

Ketua Hakim Syarie Selangor berkata mereka perlu menjadi peguam yang berkualiti tinggi dengan sifat amanah, telus dan bertanggungjawab.

“Sekiranya mengambil mudah setiap perkara contohnya tidak menepati waktu kes dijalankan dan tidak hadir ke mahkamah tanpa sebab munasabah akan memberi kesan kepada profession mereka.

“Ia sekali gus tidak dapat mencapai maksud keadilan yang dihajatkan,” kata Dato’ Mohammad Adib Husain pada majlis pengisytiharan dan pentauliahan peguam syarie Selangor semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 12 aduan kesalahan etika diterima Jawatankuasa Peguam Syarie Selangor daripada pelanggan sepanjang tahun lepas.

Jelas Mohammad Adib, aduan melibatkan kesalahan mengambil wang pelanggan, tidak menjalankan tanggungjawab hingga menyusahkan anak guam dan pelbagai kesalahan lain.

“Aduan ini menunjukkan wujud ketirisan sikap amanah dan integriti yang berlaku dalam kalangan pengamal undang-undang Syariah di Selangor.

“Hakisan nilai integriti dalam kalangan peguam syarie akan mengakibatkan kepincangan dan salah laku perkhidmatan guaman seterusnya ketirisan menegakkan keadilan di mahkamah,” katanya lagi.


Pengarang :