Pengunjung program Jelajah Ehsan Rakyat disarankan supaya membawa beg sendiri untuk mengisi beras dan minyak masak bagi menjayakan kempen bebas beg plastik anjuran Kerajaan Negeri. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pejabat DUN Paya Jaras syor PKPS giat kempen guna beg kitar semula

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 11 FEB: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras mengesyorkan agar Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menggiatkan promosi penggunaan beg kitar semula bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kempen bebas beg plastik.

Penyelarasnya berkata kempen bebas beg plastik juga perlu dilaksanakan lebih menyeluruh bukan hanya ketika program jualan murah negeri sahaja.

“Kempen penggunaan beg kitar semula perlu dipergiat dalam semua program membabitkan setiap peringkat usia bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Contoh paling mudah kita adakan kempen kesedaran dari peringkat kanak-kanak. Di pusat asuhan atau tadika kita sudah terapkan kepentingan sayangi alam sekitar,” kata Norhisham Hassan kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kempen bebas beg plastik yang dilaksanakan PKPS pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sejak 6 Februari lalu.

Norhisham berkata pihaknya juga menguar-uarkan kepada penduduk untuk membawa beg sendiri pada program JER yang dianjurkan di DUN Paya Jaras pada 9 Februari lalu.

“Kita sudah maklumkan agar penduduk bawa beg guna semula untuk isi barangan yang dibeli walaupun PKPS bekalkan beg plastik.

“PKPS maklum akan sediakan beg plastik untuk barangan basah seperti ayam, daging dan ikan serta telur namun minta kerjasama orang ramai bawa beg sendiri untuk isi beras dan minyak masak,” katanya.

Pada 5 Februari, PKPS melalui Facebook menyarankan pengunjung jualan murah membawa beg sendiri untuk mengisi barangan yang dibeli bagi menyokong kempen bebas beg plastik.

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap Sabtu sejak 2009 sebelum diperluas kepada tujuh hari seminggu mulai 2017.


Pengarang :