KUALA LUMPUR, 25 FEB: Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) dijadikan model kepada Kerajaan Perpaduan untuk memperkenalkan Skim Perubatan Madani.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang gembira dengan perkara itu berkata inisiatif baharu yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membolehkan perkongsian dalam pelaksanaannya.
“Bukan sahaja Skim Perubatan Madani menjadi inspirasi tetapi banyak lagi seperti bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal yang mana telah diinisiatifkan terlebih dahulu di Selangor.
“Beberapa program di Selangor dijadikan model kepada Kerajaan Perpaduan dan saya rasa gembira ia dapat dilaksana termasuk dapat berkongsi bagaimana pelaksanaannya serta cabaran yang ditemui untuk laksanakan hal tersebut,” katanya.

Beliau ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2023 oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan di Parlimen semalam.
Ketika pembentangan belanjawan, Anwar memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta.
Menurut Anwar skim yang dilaksanakan seperti di Selangor itu memperuntukkan RM120 juta.